ATHENS, GREECE, 24 MEI – Malaysia Healthcare telah menerima pengiktirafan di atas pencapaian cemerlang para penyedia perkhidmatan kesihatan di majlis anugerah Pelancongan Kesihatan International Medical Travel Journal (IMTJ) 2018 (International Medical Travel Journal (IMTJ) Medical Travel Awards 2018) yang diadakan di Athens hari ini. Sembilan daripada lima belas kategori yang dipertandingkan dibolot oleh Malaysia Healthcare. Ini termasuk, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) yang berjaya meraih anugerah “Kluster Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Tahun 2018” (Health and Medical Tourism: Cluster of the Year) untuk tahun kedua berturut-turut. Ini membuktikan kecekapan MHTC memainkan peranannya sebagai agensi yang memajukan dan membantu menyelaras industri pelancongan kesihatan Malaysia.
Malaysia juga mendapat Kepujian Tertinggi (Highly Commended) sebagai “Destinasi Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Terbaik” (Health and Medical Tourism: Destination of the Year). Pengiktirafan ini adalah untuk semua usaha yang telah dilakukan dalam memartabatkan Malaysia sebagai destinasi global terkemuka untuk penjagaan kesihatan. Beberapa hospital swasta terulung di Malaysia juga telah berjaya meraih beberapa anugerah berprestij semasa majlis tersebut. Anugerah-anugerahnya adalah:
Anugerah ini dihakimi oleh lebih daripada 20 orang panel juri, yang dipilih berdasarkan kepakaran mereka dalam industri pelancongan kesihatan, dipengerusikan oleh Ketua Editor IMTJ, Keith Pollard. Para pemenang dipilih berdasarkan beberapa kriteria tertentu yang mengetengahkan inovasi dan kecemerlangan di dalam industri pelancongan kesihatan. Antara nama-nama yang membarisi panel hakim elit ini termasuk Irving Stackpole daripada Stackpole and Associates, Ilan Geva daripada Ilan Geva and Friends, Dato’ Dr Jacob Thomas daripada Persatuan Hospital-Hospital Swasta Malaysia (APHM), dan Elizabeth Ziemba daripada Medical Tourism Training.
“Sepanjang tempoh tiga tahun yang lalu, Malaysia telah kekal menjadi juara bertahan bagi anugerah “Destinasi Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Terbaik”, dan ini telah menjadi kayu ukur bagi negara-negara di seluruh dunia yang berlumba-lumba untuk menjadi destinasi pilihan untuk pelancongan kesihatan. Malaysia mempunyai dua faktor utama yang meletakkannya lebih jauh di hadapan berbanding destinasi-destinasi lain. Pertama sekali, Malaysia memiliki sistem perolehan data yang berstruktur mantap dan disokong kuat oleh pihak kerajaan. Keduanya, Malaysia menyediakan perkhidmatan pelancongan kesihatan yang menyeluruh, terutamanya menerusi perkhidmatan concierge yang disediakan. Malaysia merupakan saingan yang kuat dalam industri pelancongan kesihatan dan ia amat menggalakkan untuk melihat para penyedia perkhidmatan kesihatan terus berdaya saing untuk mencapai kecemerlangan,” ujar Keith Pollard.
Anugerah ini membuktikan kemampuan Malaysia Healthcare untuk memperoleh pengiktirafan antarabangsa di dalam industri pelancongan kesihatan. Selain anugerah ini, Malaysia juga telah meraih pelbagai anugerah antarabangsa, termasuk “Best Country in the World for Healthcare” (Negara Terbaik Dunia untuk Penjagaan Kesihatan) daripada International Living’s Annual Global Retirement Index bagi tahun 2015 sehingga 2017. Pada awal tahun 2018, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara Asia yang terbaik untuk persaraan, meletakkan Malaysia sebagai negara kelima terbaik keseluruhan selepas Mexico, Costa Rica, Panama, dan Ecuador.
Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli berkata, “Saya amat bersyukur dan berbangga dengan kejayaan Malaysia Healthcare pada majlis anugerah ini. Ternyata, gabungan tahap perkhidmatan kesihatan yang cemerlang, dan sokongan padu daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia inilah yang menjadi penggerak utama dalam memartabatkan Malaysia sebagai destinasi global terkemuka untuk penjagaan kesihatan. Tahniah kepada semua penyedia penjagaan kesihatan di atas usaha yang konsisten dalam mengecapi kecemerlangan.”
Sebelum ini, Malaysia Healthcare telah memenangi “Destinasi Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Terbaik” selama tiga tahun berturut-turut daripada tahun 2015 hingga 2017. Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan global yang terkemuka. MHTC juga juga telah memenangi “Kluster Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Tahun 2017” (Health and Medical Tourism: Cluster of the Year) pada majlis anugerah yang sama pada tahun 2017, membuktikan pentingnya sokongan kerajaan yang kukuh dan kerjasama awam-swasta yang utuh dalam memacu industri pelancongan kesihatan negara.
Terdahulu, Sherene telah dijemput sebagai penceramah undangan di IMTJ Medical Travel Summit 2018. Beliau telah membentangkan sebuah topik bertajuk “Pembangunan Destinasi: Apakah ciri-ciri destinasi pelancongan perubatan ideal?”. Sherene berkongsi pengalaman Malaysia Healthcare dalam menjadi peneraju dalam industri penjagaan kesihatan.
IMTJ Medical Travel Summit 2018 yang diadakan di Athens, Greece adalah sebuah kerjasama di antara International Medical Travel Journal, Elitour dan the Greek Medical Tourism Council yang menggabungkan persidangan berlandaskan pemikiran kepimpinan dan malam anugerah. Persidangan ini merupakan pertemuan pemimpin-pemimpin tertinggi dalam industri pelancongan kesihatan dan pasaran pesakit antarabangsa.
MHTC adalah sebuah agensi yang ditubuhkan pada 2009, dibawah naungan Kementerian Kesihatan Malaysia, untuk memajukan dan membantu menyelaras industri pelancongan kesihatan Malaysia. Dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan global yang terkemuka, MHTC telah memberi tumpuan kepada beberapa inisiatif untuk dimajukan dalam mencapai matlamat ini. Inisiatif-inisiatif ini telah diperkenalkan berlandaskan kekuatan dan keunikan negara sebagai destinasi penjagaan kesihatan. Inisiatif-inisiatif tersebut adalah (i) Menjadikan Malaysia sebagai Hab Rawatan Kesuburan dan Kardiologi di Asia, (ii) Menubuhkan “Flagship Medical Tourism Hospitals” di Malaysia, dan (iii) Mengelolakan “Malaysia Year of Healthcare Travel 2020” yakni kempen kesihatan antarabangsa pertama Malaysia. Malaysia Healthcare sentiasa mengalu-alukan para penjaga kesihatan untuk “Experience Malaysia Healthcare, Embrace Malaysian Hospitality” (Alami Penjagaan Kesihatan Malaysia, Hayati Kemesraan Malaysia).