SEGAMAT – Malaysia terus dipilih sebagai lokasi pelancongan kesihatan terbaik apabila dinobatkan sebagai tempat pertama di dunia oleh International Medical Travel Journal (IMTJ), baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, ini membuktikan pelancongan kesihatan kini semakin mendapat tempat dan berkembang di negara ini seiring dengan negara-negara maju yang lain.
“Rakyat negara lain seperti Indonesia, China, Myanmar, Bangladesh dan beberapa negara lain datang mendapatkan rawatan di negara ini kerana Malaysia mempunyai kepakaran yang cukup.
“Ini juga adalah usaha gigih Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) di bawah kementerian dan setiap tahun kita cuba untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan anugerah ini membuktikan penerimaan dunia terhadap Malaysia,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Kem Nak Sihat dan Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Sementara Palong Timur di pekarangan Anjung Belia Felda Palong Timur, di sini, semalam.
Menurutnya, sebagai satu petunjuk ekonomi utama, sokongan kerajaan adalah kekuatan dalam menarik pelancong kesihatan di Malaysia serta pelancong yang mendapat rawatan di negara ini diberi layanan terbaik selain kos rawatan yang berpatutan.
“Bidang kesihatan di negara ini juga dibangunkan menerusi kerjasama awam dan swasta yang mana kerajaan dan pihak swasta menyediakan kemudahan serta layanan kesihatan berkualiti kepada orang ramai.
“Melalui pelancongan kesihatan ini juga, kemudahan selepas rawatan kepada pesakit seperti untuk pemulihan juga disediakan serta pelancong yang ingin mendapatkan rawatan intensif juga diberi lanjutan visa selama enam bulan,” katanya.
Sumber: KarangKraf