KUALA LUMPUR, 24 November 2020 – Malaysia Healthcare berjaya menghimpunkan pakar-pakar dalam industri pelancongan kesihatan global sempena edisi insigHT2020 yang kelima bagi mengupas dan membicarakan tentang kepentingan industri ini. Meskipun terbatas ekoran penularan wabak COVID-19, seramai 800 peserta dari 24 buah negara telah menghadiri persidangan perisikan pasaran pelancongan kesihatan (insigHT2020) kali ini secara dalam talian. Mereka terdiri daripada pakar perubatan, agensi pelancongan, pembekal khidmat teknologi dan kesihatan, serta pihak kerajaan yang berkepentingan.
Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia telah merasmikan persidangan tersebut di samping Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan; dan Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Penasihat Khas kepada YAB Perdana Menteri, Malaysia.
insigHT2020 berperanan sebagai platform yang signifikan untuk membicarakan strategi-strategi baharu bagi menyuntik nafas semula ke dalam industri pelancongan kesihatan ekoran penguncupan yang bakal disaksikan dalam kegiatan industri ini pada tahun 2021 akibat wabak COVID-19.
“Kami percaya kepakaran dan pengalaman kami dapat dimanfaatkan untuk memulihkan industri pelancongan kesihatan dalam kadar segera seiring dengan peralihan pesat industri ini,” jelas Sherene Azli, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC). “Ketika wabak COVID-19 mula memuncak, kita dapat melihat bagaimana kolaborasi antara sektor awam dan swasta berjaya membuahkan hasil demi keselamatan orang ramai. Menerusi insigHT2020, kami berhasrat untuk mewujudkan usaha sama seperti ini di peringkat global, dengan meletakkan Malaysia sebagai peneraju inisiatif tersebut.”
Topik-topik utama yang dibincangkan di persidangan ini meliputi pelaksanaan inisiatif digital dalam bidang kesihatan seperti konsultasi virtual, platform telekesihatan, lawatan ke rumah serta e-farmasi untuk menjamin kesinambungan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan yang ditawarkan. Selain itu, topik-topik tentang pembangunan kepakaran yang khusus, tatacara pengendalian piawaian (SOP) bagi transit pesakit untuk masa akan datang, serta tumpuan ke atas kolaborasi untuk memulihkan semula industri ini juga turut diutarakan.
Pelbagai pihak yang terkemuka daripada industri-industri berkaitan seperti TM ONE, Tourism Malaysia, DoctorOnCall, EMA Global, Novo Reperio, dan penggerak industri yang lain turut sama berkongsi kepakaran dan ilmu mereka untuk terus menggiatkan pembangunan industri pelancongan kesihatan pasca wabak COVID-19.
“Sebagai wakil Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk solusi perniagaan dan sektor awam, TM ONE berbesar hati untuk bersama-sama membantu pemain-pemain industri kesihatan Malaysia bagi menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkesinambungan menerusi solusi digital yang lengkap. Kami juga berasa teruja kerana berpeluang untuk menyokong pemupukan inisiatif digital seperti telekesihatan yang sedang meningkat naik dalam sektor kesihatan dan pelancongan kesihatan di rantau ini. Ini sejajar dengan peranan unik TM sebagai penggerak Digital Malaysia” ujar Ahmad Taufek Omar, Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE.
“Sebagai langkah kesiapsiagaan apabila sempadan antarabangsa dibuka semula seperti sedia kala, pemain-pemain industri kesihatan dan pelancongan telah bersedia untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik. Pemupukan kolaborasi yang lebih utuh antara pelbagai industri dan pihak berkepentingan akan menjadi elemen yang penting bagi membuahkan kejayaan, demi membantu memulihkan industri pelancongan kesihatan,” tambah Sherene Azli.
Malaysia Sebagai Hab Kardiologi Asia Bakal Menjadi Tumpuan bagi Perubatan Jantung di Rantau Ini
insigHT2020 juga telah menyaksikan pelancaran Malaysia sebagai Hab Kardiologi Asia oleh Dato’ Sri Dr. Adham Baba, sekali gus membuktikan kepakaran dan kemajuan teknologi yang dimiliki Malaysia dalam bidang perubatan kardiologi.
Negara kita memiliki fasiliti, kepakaran, dan khidmat penjagaan pesakit yang bertaraf dunia, dan atas sebab inilah Malaysia terkenal di persada antarabangsa, serta diyakini sebagai pilihan terbaik untuk mendapatkan rawatan kardiologi di rantau Asia Pasifik. Ketersediaan jururawat yang mempunyai kemahiran khusus dalam bidang perubatan jantung, termasuk penawaran perkhidmatan rehabilitasi dan alternatif perubatan yang berpatutan dari segi kos turut membuktikan kenyataan ini.
Institut Jantung Negara (IJN) telah menerajui kemajuan dalam bidang perubatan jantung dan penyakit torasik, dan baru-baru ini telah mencipta sejarah setelah mengimplan perentak jantung Micra AV untuk merawat komplikasi kadar degupan jantung yang lemah, sekali gus menjadi hospital yang pertama di luar Amerika Syarikat untuk berbuat demikian. “Pertumbuhan dalam jumlah tenaga kerja serta pelaburan yang dibuat oleh hospital ke atas teknologi dan peralatan yang terbaharu dan tercanggih dapat meyakinkan para pesakit dan pengamal perubatan bahawa kita dapat mengecapi misi untuk dinobatkan sebagai hab perubatan kardiovaskular dan torasik yang terbaik di Asia,” ujar Dr. Aizai Azan Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN.
Malaysia sejak sekian lama telah menabur komitmen untuk menggiatkan usaha penambahbaikan fasiliti-fasiliti sedia ada serta memperkenalkan teknologi baharu bagi perubatan jantung, sekali gus meraih keyakinan dan kepercayaan para pesakit. “Kami berasa teruja untuk menggalas tanggungjawab sebagai Hab Kardiologi Asia bersama Malaysia Healthcare,” ungkap Timothy Chang dari Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).
“Sebagai pusat kecemerlangan rawatan jantung dan vaskular di peringkat swasta, kami komited untuk membekalkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik buat para pesakit, rakan kongsi, dan warga komuniti.”
Kualiti perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia, kebolehcapaian yang mudah dan kos rawatan yang berpatutan yang ditawarkan oleh Malaysia terus mendapat pujian daripada badan-badan antarabangsa meskipun di kala situasi pandemik COVID-19. Malaysia merupakan antara negara yang terbaik dalam mendemonstrasikan respon untuk menangani penularan COVID-19, sehingga mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Malaysia juga telah dinobatkan sekali lagi sebagai ‘Destinasi Terbaik Tahunan’ dan ‘Kluster Terbaik Tahunan’, iaitu pengiktirafan kali yang keempat diterima bagi gelaran yang sama di majlis penganugerahan Medical Travel Awards 2020 oleh International Medical Travel Journal (IMTJ) yang telah berlangsung di London.
“Meskipun berhadapan dengan dugaan besar tahun ini, Malaysia terus meraih pengiktirafan antarabangsa atas kualiti perkhidmatan kesihatannya. Pencapaian ini ditunjangi oleh asas Malaysia yang kukuh dalam bidang penjagaan kesihatan, yang turut dibentuk melalui usaha sama antara pihak awam dan swasta, termasuk pendekatan yang diambil dalam memanfaatkan inisiatif digital bagi menjamin kesinambungan dalam perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan,” simpul Sherene Azli.