PETALING JAYA: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) hari ini memberitahu pihaknya memutuskan untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memberikan 51 unit ventilator bagi kegunaan hospital awam dalam menangani wabak Covid-19.
Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas melihat ia sebagai peluang untuk hospital swasta saling bekerjasama dengan KKM dan Putrajaya dalam menghadapi krisis yang bukan sahaja di Malaysia, tetapi dunia.
“Kami sudah menyediakan sebanyak 51 ventilator kepada KKM setakat hari ini. Kami juga akan menerima kes yang tidak melibatkan Covid-19 daripada hospital seliaan KKM.
“Perbincangan bagi pengambilan kes-kes ini berada di peringkat akhir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 21 Mac lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu pihaknya menjangkakan peningkatan kes Covid-19 minggu ini dan minggu depan. Menurutnya, cabaran utama pada masa ini adalah untuk mendapatkan ventilator walaupun pembiayaan alat berkenaan bukanlah satu masalah.
Menurutnya, KKM pada ketika ini memiliki 925 unit ventilator dan menjangkakan memerlukan tambahan 500 unit lagi.
Hari ini, Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 106 kes baru jangkitan Covid-19 direkodkan berbanding 24 pesakit yang pulih sepenuhnya.
Kes baru hari ini lebih rendah berbanding 212 semalam, sementara kes pulih dan dibenar keluar wad tinggi sedikit berbanding 20 semalam. Kes terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 1,624 kes, berbanding 183 kes yang dibenarkan keluar wad.
Menurutnya, 43 kes daripada angka kes jangkitan baru itu berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, manakala 63 kes lain berkaitan kluster lain yang masih dalam siasatan untuk kepastian kementerian.
Source: FMT News