Industri pelancongan kesihatan Malaysia berkembang pada kadar purata 16 ke 17% setahun berbanding purata global 12 ke 14%.
KUALA LUMPUR: Penyusutan ringgit turut berperanan menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan kesihatan di Malaysia, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Sherene Azli.
Beliau berkata, kos rawatan di Malaysia lebih mampu ditanggung oleh pesakit berbanding di negara lain di rantau ini.
“Jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat (AS), pesakit dapat berjimat sehingga 85 peratus dari segi kos.
“Oleh itu, turun naik mata wang juga amat mendorong pelancong kesihatan, memandangkan mereka memperolehi lebih nilai bagi setiap wang yang dibelanjakan di negara ini,” katanya.
Baru-baru ini, AmInvestment Bank dalam nota penyelidikan berkata, pengendali kesihatan swasta tempatan mungkin terjejas ekoran kelemahan ringgit berbanding dolar AS.
Ini kerana kos input utama seperti ubat-ubatan, bekalan dan peralatan perubatan adalah dalam denominasi dolar AS.
Bagaimanapun, Sherene berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengawal kadar siling untuk rawatan penjagaan kesihatan, sekali gus memastikan perkhidmatan kekal berpatutan.
Ia adalah selain Jadual Fi Perubatan 2013 yang ditetapkan KKM, ditambah dengan insentif yang diperkenalkan kerajaan, seperti pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas bil perubatan, telah meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai peneraju destinasi pelancongan kesihatan.
Industri pelancongan kesihatan Malaysia berkembang pada kadar purata antara 16 ke 17% setahun berbanding purata global 12 ke 14%, apabila negara memanfaatkan semua faktor tersebut.
“Pelancongan kesihatan merupakan antara industri yang berkembang pesat dalam sektor ini, mencatatkan pertumbuhan 2 angka berbanding 4% yang dicatatkan industri pelancongan itu sendiri,” katanya.
Pada 2017, sektor penjagaan kesihatan Malaysia mencatatkan perolehan kira-kira RM1.3 bilion daripada lebih satu juta ketibaan pelancong kesihatan, dengan pertumbuhan ini menyumbang lebih RM3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jumlah pelancong kesihatan turut meningkat sebanyak 63.3% kepada 1.05 juta berbanding 921,000 pada 2016.
MHTC juga mengenal pasti beberapa negara, iaitu Indonesia, India, China, Vietnam dan Myanmar sebagai pasaran teras berdasarkan jumlah pelancong kesihatan, serta potensi pertumbuhan masing-masing.
Pelancong kesihatan utama ke Malaysia bagi menjalani rawatan ialah dari Indonesia, India, China, Indo-China, Jepun, Bangladesh, United Kingdom, Filipina, Singapura, Australia dan AS.
Di peringkat domestik, Sherene berkata, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menjadi destinasi utama pelancong kesihatan sejak sekian lama, didorong terutamanya oleh faktor mudah diakses menerusi kemudahan lapangan terbang antarabangsa.
“Kita juga mula menyaksikan pertambahan hab penjagaan kesihatan di Johor, Melaka dan Sarawak, disokong oleh usaha kerajaan menjadikan industri ini pemacu pertumbuhan ekonomi utama, serta strategi perniagaan penyedia penjagaan kesihatan swasta untuk memanfaatkan peluang tersebut,” katanya.
MHTC diberi peruntukan RM20 juta bagi merealisasikan mandat kerajaan untuk mengembangkan industri itu sebanyak 25% pada 2019 menerusi Belanjawan 2019.
Oleh yang demikian, industri pelancongan kesihatan akan menyaksikan peningkatan berterusan jumlah pelancong dari negara sasaran seperti Indonesia, India, China, Vietnam dan Myanmar.
“Kita juga akan terus mengeratkan lagi rangkaian sekutu industri melalui perkongsian awam-swasta, khususnya dalam memperkukuh kelancaran ekosistem pelancongan kesihatan kita yang menyeluruh,” katanya.
Source: FMT News
]]>