KOTA KINABALU: Pelancaran Pusat Radioterapi dan Onkologi swasta yang pertama seumpamanya di Sabah dilihat mampu meningkatkan potensi Sabah sebagai hab pelancongan kesihatan di rantau ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, pelancaran Pusat Radiologi dan Onkologi di Hospital Pakar KPJ Sabah itu akan meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
”Dengan adanya pusat ini, kita akan membuka ruang kepada pesakit dari Brunei, Indonesia, Filipina dan China untuk datang mendapatkan rawatan kanser di Sabah.
”Kedudukan Sabah yang strategik pasti mampu menarik orang luar bukan hanya melancong ke negeri ini tetapi juga, datang untuk mendapatkan rawatan penyakit di sini,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pusat Radioterapi dan Onkologi Hospital Pakar KPJ Sabah, di sini pada Sabtu.
Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Seri Panglima Hashim Paijan.
Mohd Shafie berkata, kedatangan pesakit dari luar pasti akan membolehkan Sabah lebih dikenali sebagai hab pelancongan perubatan di dunia.
Perkembangan dalam bidang pelancongan kesihatan itu pastinya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Sabah, jelasnya.
Menurutnya, penyediaan pusat sebegitu juga akan mengurangkan bebanan kewangan masyarakat setempat yang sebelum ini terpaksa menjalani rawatan kanser di luar negara.
Katanya, beliau juga yakin dengan adanya pusat sebegitu, KPJ dapat menyediakan khidmat rawatan yang berkualiti bagi membantu mengatasi peningkatan penyakit kanser di negeri ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan KPJ Healtcare Berhad Datuk Amiruddin Abdul Satar memberi jaminan bahawa KPJ Sabah akan memberikan khidmat rawatan yang terbaik kepada rakyat di negeri ini.
Dengan penggunaan teknologi rawatan moden, beliau yakin pesakit yang dibawa ke KPJ Sabah akan menerima rawatan yang terbaik.
“Jika dilihat rekod yang ada, tahun 2017 sahaja terdapat 480 pesakit kanser telah mendapatkan rawatan di KPJ. Daripada jumlah itu, 379 pesakit mendapatkan rawatan kemoterapi manakala 101 menerima rawatan radioterapi.
“Kemudian jumlah itu meningkat sebanyak 40 peratus pada tahun ini,” jelasnya.
Rawatan bagi pesakit kanser payudara dan serviks antara yang paling ramai direkodkan di Sabah.
Sumber: Borneo Today