Kempen derma darah “Share My Love” terima sambutan baik

KUALA LUMPUR: Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dengan kerjasama Astro AWANI dan Pusat Darah Negara hari ini menganjurkan program menderma darah “Share My Love” bagi membantu menampung keperluan bekalan darah negara.

Ia diadakan di Bursa Malaysia di sini bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 3 petang.

Program itu mendapat sambutan baik daripada warga Bursa Malaysia, MHTC dan Astro AWANI yang berminat untuk bersama-sama menderma darah.

Antara tetamu kehormat yang hadir pada Program Derma Darah “Share My Love” itu, ialah, Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli, Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron, dan Ketua Bahagian Perolehan Darah, Pusat Darah Negara, Dr Tun Maizura Mohd Fathullah.

Menurut Sherene, berdasarkan perangkaan Kementerian Kesihatan, bagi tahun lalu, hanya 2.2 peratus daripada daripada jumlah penduduk Malaysia menderma darah.

“Dengan kempen berterusan yang dijalankan, kita berharap sasaran untuk mencapai 3.5 peratus penduduk Malaysia menderma darah akan dapat direalisasikan,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Secara purata, katanya, pihak hospital memerlukan hampir 2,000 beg darah bagi menampung lebih seribu pesakit setiap hari.

Pada masa sama, beliau berharap program seumpama itu akan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan kerjasama Astro AWANI dan Pusat Darah Negara.

Kempen “Share My Love” adalah sambungan kepada kempen “Malaysia Loves You” yang dilancarkan pada 2016.

 

Source: Astro Awani