Malaysia Healthcare menganjurkan persidangan dua hari untuk untuk meneroka peranan elemen kepercayaan boleh mewujudkan dan memperkukuhkan lagi peluang dalam rantaian nilai industri penjagaan kesihatan
KUALA LUMPUR, 3 September 2018 – Malaysia Healthcare menganjurkan persidangan perisikan pasaran pelancongan kesihatan tahunan terkemuka insigHT2018 yang mengumpulkan pakar-pakar industri untuk membincangkan dan berkongsi pandangan mengenai trend dan cabaran terkini dalam industri pelancongan kesihatan. Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Yang Berhormat Dato’ Ir. Haji Amiruddin bin Hamzah dan juga dihadiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dr Lee Boon Chye, perwakilan persidangan ini menyaksikan dua acara lain yang berlangsung serentak dengan persidangan ini; penandatanganan perjanjian MoU dan pengumuman anugerah “Medical Travel Media Awards 2018”(Anugerah Media Pelancongan Kesihatan 2018).
Dianjurkan untuk kali ketiga oleh Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), persidangan dua hari yang diadakan di Aloft KL Sentral, Kuala Lumpur ini menampilkan pembentangan tentang trend pasaran dan industri yang memberi tumpuan kepada tema tahun ini, ‘Membina Kepercayaan Ke Arah Kecemerlangan’. Pakar industri berkongsi kajian dan pandangan menerusi topik-topik seperti penumpuan dalam industri, gangguan digital dalam penjagaan pelancongan kesihatan serta peluang pasaran baru di seluruh dunia.
“Tema persidangan tahun ini agak luar biasa tetapi tepat pada masanya. ‘Membina Kepercayaan Ke Arah Kecemerlangan’ seolah-olah sebuah mantra yang dilaungkan di seluruh pelosok negara pada tahun ini. Malaysia baru sahaja memasuki era Malaysia baru dan kita perlu bermusahabah, menaruh kepercayaan antara satu sama lain serta menghormati kepercayaan yang telah diamanahkan,” kata Timbalan Menteri Kewangan dalam ucaptamanya.
“Pada tahun 2017, Malaysia Healthcare telah melangkaui 1 juta pelancong kesihatan dan mencecah pendapatan sebanyak RM1.3 bilion,” kata Timbalan Menteri Kewangan. Tambah beliau, “Industri pelancongan kesihatan mempunyai asas yang kukuh, ini termasuk industri pelancongan yang sudah matang, disokong pula oleh usaha-usaha ke arah pembangunan mampan, industri ini mempunyai potensi yang tinggi pada masa hadapan. Walaupun masih baru, industri yang kini bernilai RM1.3 bilion membawa impak kepada ekonomi dalam anggaran RM4 bilion hasil daripada perbelanjaan sampingan seperti pengangkutan, penginapan, dan aktiviti-aktiviti pelancongan.
Kejayaan industri pelancongan perubatan Malaysia berpunca daripada usaha bersepadu sektor awam dan swasta – sinergi ini harus diteruskan, kata Timbalan Menteri Kesihatan dalam kata-kata aluan beliau.
“Malaysia telah mengukir nama di persada antarabangsa kerana mempunyai kualiti penjagaan kesihatan yang bertaraf dunia. International Living, sebuah organisasi yang berpangkalan di AS, telah meletakkan Malaysia sebagai negara teratas untuk penjagaan kesihatan dalam Indeks Persaraan Global selama tiga tahun berturut-turut daripada tahun 2015 hingga 2017. Ini adalah kerana asas sistem penjagaan kesihatan negara yang kukuh, hasil usaha bersepadu sektor swasta dan awam untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan global terkemuka di dunia,” katanya. Timbalan Menteri Kesihatan juga menambah, “International Medical Travel Journal di United Kindom juga telah mengiktiraf Malaysia sebagai ‘Destinasi Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Terbaik” selamat tiga tahun berturut-turut daripada tahun 2015 hingga 2017.”
Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli juga berkongsi pendapat yang sama dengan kedua-dua Menteri, “Malaysia Healthcare semakin berkembang hari demi hari. Melalui jumlah peningkatan bilangan pelancong kesihatan setiap tahun, tidak dinafikan yang Malaysia kini memperoleh kepercayaan ramai. Walau bagaimanapun, kami memilih untuk terus memupuk kepercayaan terhadap Malaysia Healthcare, melengkapkan Malaysia Healthcare dengan persediaan yang sesuai untuk mengalu-alukan lebih banyak pesakit antarabangsa berdasarkan kemampuan dan keupayaan bidang perubatan negara.”
insigHT2018 juga menampilkan ahli panel dan penceramah industri tempatan dan antarabangsa yang terkenal seperti Ilan Geva, Presiden Ilan Geva and Friends, USA; Dato’ Dr. Jacob Thomas, Pengerusi dan Pengarah Kumpulan, Ramsay Sime Darby Health Care; Assoc. Prof. Dr. Jason CH Yap dari Saw Swee Hock School of Public Health, Singapura; Prof. Ki Nam Jin, Profesor, Pentadbiran Kesihatan, Yonsei University, Korea; dan Dave O’Brien, Pengurus Kanan Flywire.
Persidangan ini adalah salah satu inisiatif untuk menyelaraskan halatuju dan strategi pelbagai pemain dalam industri pelancongan kesihatan ke arah mengembangkan industri secara konsisten dan mampan. Salah satu fokus utama adalah untuk membina identiti unik untuk Malaysia dalam rantau ini; iaitu meletakkan negara sebagai hab bagi Kesuburan dan Kardiologi di Asia. Dengan inspirasi Memberi Harapan kepada Impian dan tanggapan sebagai Nadi Asia, Malaysia mengetengahkan kepakaran perubatan yang sediaada di dalam keduadua bidang khusus ini untuk merealisasikan hasrat pasangan yang ingin menimang cahaya mata melalui rawatan yang berkualiti, serta pesakit jantung yang inginkan rawatan khusus.
Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MHTC dan AirAsia Indonesia termeterai hari ini. MoU selama tempoh percubaan empat bulan ini akan menggunakan penerbangan langsung AirAsia Indonesia QZ dari bandar-bandar Indonesia ke Pulau Pinang untuk mempromosikan pelancongan kesihatan di Malaysia. AirAsia akan menawarkan diskaun ekslusif kepada para pelanggan MHTC dan tetamu yang mempunyai temujanji yang telah diatur terlebih awal melalui MHTC. Selain itu, bagi mereka yang memegang pas masuk AirAsia akan dapat menikmati manfaat tambahan di hospital-hospital yang mengambil bahagian, termasuk diskaun 20% untuk pemeriksaan kesihatan umum, perbelanjaan bukan rawatan, dan di kedai-kedai makanan terpilih. MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Sherene Azli dan Dendy Kurniawan, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia yang diiringi oleh Datuk Kamarudin bin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif (Co-Group) AirAsia X.
Selepas majlis penandatanganan perjanjian, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Dendy Kurniawan berkata, “Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan MHTC untuk mempromosikan Pulau Pinang, yang merupakan salah satu destinasi pelancongan kesihatan terbaik di rantau ini. Pulau Pinang adalah destinasi pilihan bagi warga Indonesia yang mencari rawatan perubatan berkualiti tinggi, dan kami berharap dapat melihat perkembangan pasaran yang baik melalui kerjasama ini.”
Sherene, yang turut berkongsi semangat ini berkata, “Pulau Pinang menerima kira-kira 60% daripada pelancong kesihatan Malaysia, dan pada tahun 2017 sahaja, industri pelancongan kesihatan negeri menjana pendapatan setengah bilion ringgit. Antara bidang perubatan yang terkenal di Pulau Pinang termasuk kardiologi, ortopedik, onkologi, neurologi, rawatan kesuburan (IVF), oftalmologi, dan pergigian. Inisiatif seperti ini akan mempertingkatkan lagi potensi negara untuk menampung lebih ramai pelancong daripada Indonesia yang telah memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan penjagaan kesihatan mereka.”
Persidangan ini juga merangkap platfom pelancaran untuk Anugerah Media Pelancongan Perubatan (MTMA) yang dianjurkan oleh Malaysia Healthcare. Anugerah ini meraikan sumbangan media antarabangsa dan tempatan untuk meningkatkan kesedaran terhadap industri pelancongan kesihatan Malaysia. MTMA mengalu-alukan penyertaan daripada penggiat media tempatan dan antarabangsa untuk mengemukakan rencana ataupun hasil penerbitan mereka daripada 3 September 2018 hingga 30 Jun 2019 (Kelayakan Kandungan: 1 Jun 2018 – 30 Jun 2019). Para peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai dan trofi bernilai sehingga RM 50,000. MTMA membuka tirai bagi kempen Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia (MYHT) 2020, Share My Experience, yang akan dilancarkan kepada umum pada tahun 2019. Maklumat lanjut tentang MTMA boleh didapati di www.mylovesyou.com/mtma2018.