Media jadi pemangkin destinasi pelancongan kesihatan

Media jadi pemangkin destinasi pelancongan kesihatan

PETALING JAYA 23 Ogos – Pihak media telah berperanan penting dalam menguar-uarkan tawaran perkhidmatan di negara ini dan membantu menyemai kepercayaan untuk menarik pelancong penjagaan kesihatan dari seluruh dunia, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, media turut menjadi pemangkin dalam menggalakkan perbincangan mengenai perkembangan aliran pelancongan kesihatan sekali gus memberikan keseimbangan penilaian ke atas sistem penjagaan kesihatan Asia.

Malah katanya, peralihan itu membawa kepada kemunculan Asia Tenggara sebagai peneraju dalam landskap pelancongan penjagaan kesihatan dunia yang sebelum ini pernah dikuasai Barat.

“Ini amat penting bagi peralihan Malaysia daripada menjadi ‘permata tersembunyi Asia’ kepada antara destinasi pelancongan penjagaan kesihatan terkemuka dunia.

“Kemasyhuran Malaysia sebagai penanda aras industri dan rantaian penjagaan kesihatan telah mengatasi jangkaan kita,” katanya semasa berucap merasmikan Anugerah Media Pelancongan Perubatan (MTMA) 2019 di sini, malam tadi.

Amiruddin berkata, Malaysia merekodkan peningkatan jumlah pelancong penjagaan kesihatan sebanyak 50 peratus dalam tempoh 2011 hingga 2018 dan menjana hasil pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul antara 16 dan 17 peratus.

Beliau berkata, bagi pasaran utama, Malaysia mencatatkan peningkatan bilangan pelancong kesihatan dari Indonesia sebanyak 31 peratus dan dari China pada 11 peratus tahun lepas.

“Ia amat menggalakkan berbanding peruntukan yang telah kita usahakan berbanding pesaing kita,” katanya.

Justeru itu, beliau menghargai peranan media dalam menarik ramai pihak ke negara ini sebagai alternatif penjagaan kesihatan mereka.

Beliau berkata, industri pelancongan penjagaan kesihatan Asia-Pasifik mengalami kadar pertumbuhan tahun ke tahun pada lapan peratus, iaitu dua kali ganda daripada pertumbuhan yang dicatatkan landskap global.

“Asia-Pasifik sahaja menerima antara 40 dan 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong,” katanya.

Lebih 250 penyertaan dari Malaysia dan luar negara diterima untuk MTMA 2019 yang dianjurkan oleh Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia, bagi lima kategori iaitu Rencana Terbaik Media Cetak, Rencan Terbaik Penyiaran, Rencana Terbaik Dalam Talian (tempatan/antarabangsa), Wartawan Pelancongan Perubatan Terbaik Tahunan dan Pasukan Editorial Pelancongan Perubatan Terbaik Tahunan.

Sinar Harian, yang memenangi anugerah Pasukan Editorial Pelancongan Perubatan Terbaik Tahunan, menerima RM10,000 – hadiah terbesar MTMA 2019 – serta trofi. – BERNAMA

Source: utusan.com.my